Tun Dr Mahathir & Tun Dr Siti Hasmah Love Story
BUKAN mudah mengahwini insan ternama. Apa saja yang dilakukan
pasangan, pasti tempiasnya terkena jua. Namun, bak kata orang, jika
takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Mungkin itulah
pegangan bekas Wanita Pertama Malaysia, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Bersuamikan orang politik, apatah pula suaminya, Tun Dr Mahathir
Mohamad pernah memegang memegang portfolio tertinggi sebagai orang
nombor satu negara, bermakna beliau perlu bersedia berkorban masa dan
tenaga.
“Saya fikir, saya mampu memahami kerjaya suami sebagai
ahli politik kerana kami sama-sama bermula sebagai doktor. Kerjaya ini
(doktor) ada kalanya menyebabkan suami perlu balik lambat, tetapi saya
memahami kerana saya juga seorang doktor. Apapun, kita harus percaya dan
bertoleransi dengan suami. Jangan cemburu tanpa sebab. Apa yang
penting, biar sesibuk mana sekalipun, kita perlu cari masa untuk
meluangkan masa bersama pasangan dan anak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Dalam hubungan ini, Dr Mahathir akui, meskipun isterinya reda dan tabah mengharungi pelbagai cabaran bersamanya, sebagai suami perasaan bersalah tetap ada, terutama apabila meninggalkan isteri sendirian bersama anak. Antara kenangan tidak dapat dilupakannya apabila beliau dalam dilema terpaksa memilih antara berada di sisi isterinya menyambut kelahiran anak mereka, atau menghadiri sidang Parlimen pertamanya.
“Saya masih ingat lagi satu kejadian pada 1964, ketika
itu saya baru memenangi pilihan raya pertama saya. Dia (Dr Siti Hasmah)
pula sedang menunggu masa melahirkan Mukhriz. Saya sedang bersiap sedia
untuk menghadiri sidang Parlimen saya yang pertama, tiba-tiba air
ketuban dia sudah pecah. Tetapi, dia beriya-iya suruh saya pergi juga.
Bayangkan ketika itu perjalanan dari kedah ke Kuala Lumpur ambil masa
yang lama dan saya hanya dapat melihat mereka (Dr Siti Hasmah dan
Mukhriz) selepas dia bersalin.
“Memang saya rasa bersalah, tetapi kami berpendapat dalam
rumah tangga, suami dan isteri perlu saling memahami. Paling penting,
kita tidak terlalu mendesak masa untuk bersama, tetapi tidak bermakna
sampai tiada masa langsung untuk keluarga,” katanya.
Ini diakui sendiri Dr Siti Hasmah. Sebagai isteri, katanya, beliau
memahami sidang berkenaan amat penting bagi suaminya, menyebabkan beliau
sendiri menyuruh Dr Mahathir segera berangkat memandangkan perjalanan
yang terpaksa dilalui agak jauh.
“Pada tahun pertama saya gagal, dia nak ajar saya fizik secara percuma, jadi rapatlah, ketika itulah saya mula rapat dengannya” – Tun Dr Siti Hasmah.
Beliau meluahkan perasaan beliau kepada Bonda Tun Dr Siti Hasmah dalam hujan …
Mereka pergi ke suatu tempat, kemudian Tun Mahathir menghantar Tun Siti ke stesen bas.
Mereka pergi ke suatu tempat, kemudian Tun Mahathir menghantar Tun Siti ke stesen bas.
Disitu, Tun Mahathir nampak Tun Siti dalam hujan apabila dia sudah berlalu pergi terus kembali ke Tun Siti Hasmah.
“Why you came back? U are wet!” Tanya Tun Siti Hasmah
“I came back because I love you” balas Tun Dr Mahathir.
Bukan cinta pandang pertama
MEREKA berkenalan ketika menuntut di Kolej Perubatan King Edward di
Singapura pada 1947. DrMahathir mengakui, cinta mereka bukan cinta
pandang pertama, namun menjadi rapat kerana sering belajar bersama.
SALING memahami.
“Dia satu-satunya pelajar wanita Melayu, sebab itulah kot
(jatuh hati). Ada enam pelajar lelaki lain, semuanya sentiasa bersedia
hendak tolong angkat beg dia. Saya pula dibesarkan dalam keluarga yang
ramai lelaki, jadi tidak tahu bagaimana hendak ‘tegur’ perempuan. Saya
tengok kawan lain tolong angkat beg dia, saya pun buat juga. Tetapi,
saya selalu ajar dia (pelajaran), itu yang mungkin membuatkan hubungan
kami menjadi rapat,” katanya..
Mereka mendirikan rumah tangga pada usia agak lewat bagi zaman itu,
iaitu Dr Mahathir pada usia 30 tahun, manakala Dr Siti Hasmah, 29 tahun.
Dr Siti Hasmah berkata, kelewatan itu disebabkan mereka hanya
berkahwin selepas menamatkan pengajian dan housemanship bagi memenuhi
permintaan bapanya.
“Ayah saya tahu mengenai hubungan kami itu. Jadi, satu
hari dia telefon saya dan kami berbual mengenainya. Dia minta saya
berjanji supaya menamatkan pengajian dulu sebelum berkahwin. Suami saya
tamat pengajian pada 1953, dan saya pula pada 1955. Setahun kemudian
kami berkahwin,” katanya.
Lumrah bercinta, ada pasang surutnya. Begitu juga dengan perhubungan
mereka sebelum berkahwin. Ketika ditanya mengenai cabaran itu, Dr Siti
Hasmahtidak menafikan sepanjang persahabatan itu mereka berdepan
pelbagai dugaan, tetapi demi janji yang dipegang sejak sekian lama,
mereka berjaya melaluinya.
Malah, Dr Mahathir turut mengakui seperti pasangan lain ketiak muda
dulu, cemburu tetap ada, terutama apabila melihat Dr Siti Hasmah dengan
lelaki lain.
“Ada juga masa berkawan dulu, saya nampak dia berbual
dengan lelaki lain, saya cemburu. Begitu juga apabila dia melihat saya
bersama wanita lain. Tetapi, lama kelamaan kami faham sebenarnya tidak
ada apa yang berlaku. Jadi, perhubungan itu berkekalan,” katanya.
Dr Siti Hasmah akui, sepanjang perkahwinanmereka, beliau sudah masak
dengan tumpuan yang diterima suaminya khususnya daripada orang ramai.
Malah, sering kali juga beliau terpaksa ke tepi bagi membolehkan orang
ramai yang ingin merakam gambar kenangan bersama Dr Mahathir.
“Pernah sekali ketika kami ke Suria KLCC, ada sekumpulan wanita yang
terserempak dengan kami berasak-asak hendak mengambil gambar bersama dia
(Dr Mahathir) sehingga saya terpaksa bergerak jauh ke tepi. Kebetulan
saya terpandang ada pasangan yang ketika itu berada pada tingkat atas
melihat senario itu dan mereka ketawa melihat keadaan berkenaan, lalu
menjerit ke arah saya ‘tak jealous ke Tun?’.
“Saya juga ketawa kerana apa yang berlaku itu perkara biasa bagi saya. Tiada cemburu, kerana kami saling memahami,” katanya.
Pastikan perselisihan faham tidak berpanjangan
Melihat pasangan berkenaan yang saling usik mengusik sepanjang
wawancara dilakukan, jelas sekali keserasian dan kebahagiaan antara
mereka. Kini sudah lebih 50 tahun pasangan bahagia itu melayari bahtera
perkahwinan bersama.
Namun, Dr Siti Hasmah akui, seperti pasangan lain, perselisihan faham
tetap ada. Bak bait puitis lagu Seniman Agung Tan Sri P Ramlee,
sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula manusia biasa. Begitu jugalah
dengan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.
“Dia selalu komplen, saya lambat (bersiap terutama untuk
menghadiri majlis). Kita ni wanita, biasalah banyak barang yang perlu
seperti beg dan aksesori yang bersesuaian dengan baju. Jadi itulah yang
lewat bila hendak cari yang sesuai. Suami saya pula seorang yang
organize. Setiap malam, dia sudah sediakan semua keperluan seperti baju
dan kasut untuk keesokan hari.
“Selain itu, sebagai ibu, kita selalu ada benda yang
hendak arah anak sebelum keluar dari rumah, terutama pada waktu malam
dan saya juga ada tabiat, mesti tutup lampu bilik sebelum keluar. Jadi,
selalu kena marah, masuk kereta masam muka danapabila tiba di majlis
tidak bertegur sapa. Namun, akhirnya saya sedar kesilapan yang dilakukan
dankami berbaik semula. Tetapi, bagi menyelesaikan masalah ‘lambat’ itu
saya suruh dia (Dr Mahathir) yang tutup lampu,” katanya tersenyum memandang suaminya mengenang peristiwa lalu.
Menariknya, Dr Mahathir berkata, beliau turut mempunyai jalan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Sebenarnya, saya seorang yang obses dengan ketepatan
masa. Susah nak faham perempuan, ginculah, beg mesti sama warna dengan
kasutlah… Oleh kerana dia selalu lambat, saya akan duduk dalam dressing
room dan tolong carikan apa yang dia perlukan. Kasut ke, aksesori ke,
beg ke, bagi pastikan dia dapat lebih cepat (bersiap),” katanya tersenyum.
Melihat kepada senario hari ini yang mana semakin ramai pasangan baru
mendirikan rumah tangga sudah bercerai, Dr Mahathir mengakui sedih
dengan keadaan itu. Baginya, perceraian akan meruntuhkan keharmonian
keluarga dan mendatangkan lebih banyak masalah khususnya trauma kepada
anak-anak.
Beliau berkata, apa yang berlaku hari ini mungkin disebabkan
perubahan nilai budaya. Jika dulu, kebanyakan pasangan muda baru
berkahwin mendapat perhatian daripada keluarga masing-masing, tetapi
hari ini yang mana kebanyakan generasi baru sudah berhijrah ke kota
menyebabkan tiada yang memerhati dan memberi nasihat.
“Orang dulu anggap perceraian itu sesuatu yang teruk
sekali, tetapi hari ia seperti perkara biasa. Sebaiknya, apabila kita
sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, kita perlu memikirkan
bahawa kita sudah mempunyai tanggungjawab. Jika kita ada rasa
tanggungjawab itu, kita akan fikir caranya untuk berbaik semula apabila
bergaduh, bukan terus bercerai.
“Sedih mengenangkan ramai wanita yang menjadi ibu
tunggal. Saya berasal daripada keluarga yang konservatif. Bagi kami,
kita hanya ada seorang isteri saja. Bapa saya berkahwin dua, tetapi dia
berkahwin dengan isteri keduanya selepas emak, isteri pertamanya
meninggal dunia. Paling penting, kita perlu saling bertoleransi dan
jangan berharap supaya pasangan anda menjadi seperti apa yang anda
mahukan. Dia ada personaliti sendiri, jadi anda perlu bersedia menerima
kekurangan masing-masing,” katanya.
Paling penting, kata Dr Siti Hasmah, perlu saling memahami dan
bertoleransi. Jangan hanya kerana perkara remeh membawa kepada
perceraian kerana kesannya ialah anak yang kehilangan kasih sayang ibu
dan bapa.
No comments:
Post a Comment